Rabu, 9 Jun 2010

Pembahagian Harta










APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN FARAID



Perkataan Faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan di bahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah:
1. Tanah
2. Bangunan (rumah).
3. Barang kemas (emas, perak dll).
4. Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak).
5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.


CARA PENGAMBILAN HARTA PUSAKA



Jalan untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.
1. Ashabul-Furud
Golongan ini mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

2. Asabah
Merupakan golongan yang akan terima baki setelah semua golongan (1) mendapat bahagian golongan asabah. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:
(a) Asabah Binafsih
(b) Asabah Bil Ghoir
(c) Asabah Maal Ghoir.

(a) Asabah Binafsih
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa.

(b) Asabah Bil Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta, atau pengambilan semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu: anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan.

(c) Asabah Maal Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).

3. Dhawil-Arham
Golongan ini akan menggantikan golongan (1) dan (2) setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan simati. Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu: golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu:
Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.

(a) Hijab Nuqshon
Terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit, kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu.

(b) Hijab Hirman
Terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.


FIRMAN ALLAH


Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu; bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka ia memperolehi separuh harta. Dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya satu perenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat satu pertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat satu perenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut) sesudah dipenuhi wasiat yang dia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(an-Nisa : 11)



Dan bagimu (para suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh satu perempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperolehi satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan bapa dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu sahaja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka bagi masing-masing dari kedua-dua jenis saudara itu satu perenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang satu pertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.
(an-Nisa :12)



Mereka meminta fatwa kepada kamu (tentang kalaalah). Katakanlah Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalaalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan dia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu satu perdua daripada harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki, mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi kedua-duanya dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri daripada) saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak dua bahagian saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
(an-Nisa : 176)


SENARAI AHLI WARIS YANG DAPAT MENERIMA HARTA PUSAKA


Terdapat 15 ahli waris dari pihak lelaki dan 10 ahli waris dari dari pihak perempuan yang utama dan layak menerima harta pusaka.
Waris dari pihak lelaki seperti berikut:
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki dari anak lelaki
3. Bapa
4. Datuk
5. Saudara lelaki seibu sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Saudara lelaki seibu
8. Anak saudara lelaki dari seibu sebapa
9. Anak saudara lelaki dari seibu atau sebapa
10. Bapa saudara seibu sebapa
11. Bapa saudara sebapa
12. Sepupu dari bapa saudara seibu sebapa
13. Sepupu dari bapa saudara sebapa
14. Suami
15. Hamba sahaya

Jika kesemua waris lelaki di atas wujud, maka hanya tiga orang sahaja yang layak iaitu:
1. Bapa
2. Anak lelaki
3. Suami

Ahli-ahli waris perempuan yang layak menerima harta pusaka iaitu:
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan dari anak lelaki
3. Ibu
4. Nenek sebelah ibu
5. Nenek sebelah bapa
6. Saudara perempuan seibu sebapa
7. Saudara perempuan seibu
8. Saudara perempuan sebapa
9. Isteri
10. Petuan perempuan bagi hamba sahaya

Jika kesemua ahli waris diatas wujud, hanya 5 orang yang layak:
1. Anak perempuan
2. Cucu perempuan dari anak lelaki
3. Ibu
4. Saudara perempuan seibu sebapa
5. Isteri

Jika kesemua 25 waris lelaki dan perempuan masih hidup, maka keutamaan akan diberikan kepada hanya lima ahli waris berikut:
1. Bapa
2. Ibu
3. Anak Lelaki
4. Anak Perempuan
5. Suami/Isteri



Berikut adalah bahagian yang diperolehi oleh ahli waris mengikut syarak..

Bahagian Diperolehi Suami kepada simati
1/2 Tidak mempunyai anak ATAU
Tidak mempunyai cucu dari anak lelaki
1/4 Mempunyai anak ATAU
Mempunyai cucu dari anak lelaki



Bahagian diperolehi Isteri kepada simati
1/4 Tiada anak ATAU
Tiada cucu dari anak lelaki
1/8 Mempunyai anak ATAU
Mempunyai cucu dari anak lelaki



Bahagian Diperolehi Anak Perempuan Simati
1/2 Hanya seorang sahaja DAN tidak ada anak lelaki
2/3 2 orang anak perempuan atau lebih DAN tiada anak lelaki
ASABAH BI-GHAIRIH Mempunyai anak lelaki - mendapat separuh dari bahagian anak lelaki



Bahagian Diperolehi Cucu Perempuan Anak Lelaki Simati
1/2 Mempunyai seorang sahaja DAN tiada anak
2/3 Mempunyai 2 orang atau lebih DAN tiada anak
1/6 Mempunyai seorang atau lebih jika bersama-sama dengan
seorang anak perempuan
ASABAH BI-GHAIRIH Mempunyai cucu lelaki - mendapat separuh dari bahagian cucu lelaki daripada anak lelaki.
Terhalang disebabkan mempunyai anak lelaki ATAU 2 anak perempuan
atau lebih



Bahagian Diperolehi Bapa Simati
1/6 Mempunyai anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki
1/6 dan Asabah Mempunyai anak perempuan ATAU cucu perempuan
dari anak lelaki
ASABAH Tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki




Bahagian Diperolehi Ibu Kepada Simati
1/6 Mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU mempunyai dua saudara kandung ATAU saudara sebapa
1/3 Tidak mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU
tiada dua saudara kandung ATAU saudara sebapa
1/3 dari baki Mempunyai bapa serta suami ATAU isteri



Bahagian Diperolehi Datuk kepada simati
Sama seperti bapa Hanya mendapat bahagian sekiranya tiada bapa




Bahagian Diperolehi Saudara Perempuan Seibu Sebapa kepada simati
1/2 Tiada anak, cucu, bapa DAN tiada waris yang
menjadikannya Asabah
2/3 Dua orang atau lebih, tiada anak, cucu, bapa DAN ahli yang menjadikannya Asabah
ASABAH Mempunyai saudara lelaki kandung ATAU datuk.
Terhalang oleh disebabkan adanya bapa, ATAU anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki




Bahagian Diperolehi Saudara Perempuan Sebapa
1/2 Hanya seorang, tiada anak, cucu,saudara kandung, bapa
DAN tiada ahli yang menjadikannya Asabah
2/3 Dua orang atau lebih dengan syarat tiada cucu lelaki,
saudara kandung, bapa DAN tiada ahli yang menjadikannya
Asabah
1/6 Seorang atau lebih mempunyai saudara perempuan seibu
sebapa
Asabah disebabkan oleh saudara lelaki sebapa ATAU datuk
Terhalang Oleh 1. Bapa
2. Dua orang atau lebih saudara perempuan kandung
3. Seorang saudara perempuan kandung dan mempunyai
anak perempuan dan cucu perempuan
4. Saudara lelaki kandung




Bahagian Diperolehi Saudara Seibu (Lelaki/Perempuan)
1/6 Hanya seorang, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki
1/3 Dua atau lebih, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki
Terhalang oleh Disebabkan adanya bapa, datuk, anak dan cucu dari anak lelaki

Tiada ulasan:

Catat Ulasan